Friday, 25 July 2014

Cikgu Rose Macam Emma Maembong?


Assalamualaikum!!!

Bismillah...

Picture credit to google.
Siapa Cikgu Rose tu? Oh! Cikgu Rose itu adalah saya la. Bukan Ariana Rose ya. Bila anak murid panggil aku CIkgu Rose mesti aku teringat Ariana Rose. Macam cantik je, macam comel je. Sambil tiru nada anak buahku si Aleesya yang berumur 3 tahun tu. Anyonyo. Comel sangat. Kejap teringat Ariana Rose & kejap perasan macam Emma Maembong. Eh, mengada-ngada pulak dia. Bagi betis nak peha. hihi.

Laa...bukan aku yang kata. Anak murid yang kata ni. Betul. Serius nak tergelak pun ada. Ada ke patut anak murid aku kata "CIkgu, cikgu comel la. Macam Emma Maembong". haha. Memang aku gelak pun. "Yaka...Segaknya saya. Saya tengok tak macam tu pun". Budak-budak ni memang buang tebiat kot. Tak pun nak membodek la tu. 1st time aku dengar pulak tu. Lagi la sah-sah budak-budak ni memang mata juling. Ni cerita pelajar sesi petang, kelas 2A7. Masa tu aku baru je lepas ambil barang dari kereta bersama sorang lagi anak murid aku yang rajin nak membantu. Padahal barang langsung tak berat pun. Tengah jalan sambil sembang-sembang dengan anak murid tu menuju ke segerombolan pelajar kelas 2A7 ni la tiba-tiba budak-budak ni tegur macam tu. Adoi la macam-macam korang ni eh. 

Satu lagi cerita yang membuatkan aku teringat pasal Ariana Rose pulak, masa dengan pelajar sesi pagi tingkatan 4. Budak-budak ni dari kelas 4 PD4. "Err...cikgu, kami nak panggil cikgu apa? Panggil Cikgu Rose boleh?". "Aaa...ikut kamu la nak panggil nama penuh ke, nama pendek ke asalkan senang kamu nak panggil sudah". Terus aku teringat Ariana Rose. Mentang-mentang la cerita Ariana Rose tu memang membuatkan aku pun turut terbuai-buai. Jadi bila pelajar nak panggil Cikgu Rose tu mula la perasan macam Ariana Rose. haha. Eh. Mana ada perasan. Cikgu-cikgu pun ada yang panggil aku Rose apa. Zaman sekolah dulu-dulu pun ada juga seketul dua yang panggil Rose. Cuma aku je yang tak perasan rupa-rupanya unik juga ya bila orang panggil aku Rose. Sekarang baru aku perasan. Semuanya gara-gara cerita Ariana Rose la.

Picture credit to google.
Subhanallah! Emma Maembong memang comel & cantik. Indah sungguh ciptaanMU ini Tuhan. Kalau nak dibandingkan aku dengan Emma Maembong, rasanya jauh panggang dari api. Betul ke peribahasa ni? Ah, hentam je lah. Tapi bukan bermakna aku tidak mensyukuri kurniaan Allah bila aku berkata begini. Tidak sama sekali. Ciptaan Allah yang sebenarnya semuanya cantik-cantik belaka. Kalau kurang kecantikan dari segi rupa sama ada sedar atau tidak, Allah sebenarnya dah pun mencantikkan kita di bahagian yang lain. Mungkin kita tak cantik dari segi rupa, tapi kita cantik dari segi budi pekerti & akhlak. Adilkan Allah? 

Wassalam.






Tuesday, 22 July 2014

Sampul Duit Hari Raya Untuk Kelas Pendidikan Seni Visual


Assalamualaikum!!!

Bismillah...


Sejak dua menjak ni asyik je nak mengupdate pasal aktiviti kelas kan? Mesti korang dah bosan. Tapi saya tak bosan lagi. Biarlah cerita ini menjadi santapan untuk kenang-kenangan di kemudian hari. Saya suka hidup dalam kenangan. Kenangan itu sangat indah untuk dikenang. Kenangan tak semestinya semua manis. Dalam kemanisan itu ada juga kepahitan. Tapi kepahitan itulah yang membuatkan kita bangun menjadi manusia yang lebih kental.

Berbalik kepada tajuk entri, bukan nak cerita pasal saya bagi duit raya pada pelajar. 12 kelas kot yang saya mengajar. Dengan purata pelajar setiap kelas 35 orang maunya kopak juga saya. 





Ni la sebahagian muka-muka pelajar tingkatan 2A6 saya. Harini saya arahkan mereka merekabentuk sebuah sampul duit hari raya & lukis sekali dengan ilustrasi yang sesuai di permukaan sampul tu. Semuanya tekun melibatkan diri untuk aktiviti yang saya bagi. Patuh mengikut arahan. Itu yang buat saya sayang lebih. Kena pandai ambil hati budak-budak ni. Tidak lingkup juga saya pun. Kena pandai tarik perhatian pelajar untuk turut serta. Kalau tidak rancangan ke mana, hasilnya pun ke laut. 

Untuk tidak membuang masa, saya tunjukkan sekali cara-cara macam mana nak merekabentuk sampul duit tu. Kelas yang sebelum-sebelum ni saya dah pernah test dengan arahkan pelajar merekacipta sendiri, tapi hasilnya memang ramai yang macam jadi tak berminat nak buat. Masing-masing tak tahu macam mana teknik-teknik yang betul. Bila tak tahu, semangat nak buat tu pun jadi ke laut. Jadi, saya belajar dari situ. Bila saya sendiri yang tunjukkan cara-cara membuat, pelajar lebih berminat untuk turut sama buat aktiviti yang diarahkan. Mereka belajar melalui contoh yang mereka ikut. Dah siap merakabentuk, ilustrasi kena la lukis sendiri. 

Bila tengok hasil yang menjadi, masing-masing baru teruja nak siapkan 100% sekali dengan ilustrasi. Sampai setakat tu sahaja kesempatan yang ada untuk hari last ni. Selebihnya tak sempat tengok pun full hasil kerja yang siap. 5 minit sebelum waktu habis, sempat juga bergambar kenangan. 

Semoga satu hari ada lagi peluang mengajar kelas 2A6 ni. Picture speaks louder than word. Bila tengok pelajar aktif turut serta dalam sesi P&P, semangat nak masuk kelas mengajar tu lagi membuak-buak.

Wassalam.






Monday, 21 July 2014

Pelajar Yang Talkative Tapi Menyentuh Hati


Assalamualaikum!!!

Bismillah...

Baru balik dari majlis berbuka puasa di sekolah sebentar tadi. Boleh tahan meriah juga. Macam-macam makanan ada. Untuk permulaan, kami berbuka dengan air kosong & kurma dulu. Kemudian dahulukan solat maghrib sebelum makan makanan berat yang lain supaya tidak terbabas waktu. Biasa la bila dah dapat makan tu, faham-faham la kan. Lepas makan, beramah mesra dengan cikgu-cikgu lain sekejap & terus bergerak pulang dalam pukul 8.55 p.m. 

Oh! Teringat esok ada last kelas yang belum habis bagi nota-nota lepas yang tertinggal kepada pelajar. Terus pecut ke kedai fotostat untuk fotostat bab-bab yang tertinggal tu. Tak banyak pun. Tiga topik je termasuk topik yang akan diajar esok. Esok boleh bagi penerangan & buat aktiviti terus. Jimat masa nak menunggu budak-budak menyalin nota. Almaklumlah minggu ni last saya masuk kelas untuk semua kelas Pendidikan Seni Visual. Rasa bersalah pula kalau tak habiskan topik.

Entri mukadimah saja sudah 2 perenggan. Sebenarnya nak cerita pasal kelas Pendidikan Seni Visual yang semalam punya. Terbabas pula. :) Mari kita mulakan ya.



Mula-mula saya masuk kelas 2A8 ni, korang tengok la majoriti pelajar berbangsa apa. Hati terdetik "Macam mana aku nak mengajar ni?". Talkative & aktif bukan main budak-budak ni. Mula-mula masuk tu rasa gelapnya dunia. Mesti sesi P&P akan datang susah nak berjalan dengan lancar. Kena kerah tenaga banyak-banyak ni. Sana bercakap, sekali ketuk, diam. Sini bercakap, sekali ketuk, diam. Cuba korang bayangkan macam mana tu nak handle bulan puasa ni. Perit anak tekak.

Tapi. Minggu demi minggu saya mula belajar macam mana nak kawal mereka. Walaupun talkative, tapi kerja tetap jalan. Nota siap. Aktiviti pun memuaskan hati juga la. Masing-masing menunjukkan minat semasa sesi P&P berjalan. Itu yang membuatkan saya suka budak-budak ni. Tidak mengapa walaupun agak perit sedikit. Asalkan masih menghormati guru yang mengajar & mengikut setiap arahan yang diberi. 

Semalam merupakan hari terakhir saya masuk kelas mereka & pertama kali saya bawa mereka buat aktiviti di luar kelas. Amboi! Bukan main teruja lagi diorang. Lepas bagi nota tajuk penegasan, saya bagi aktiviti. Saya suruh mereka hasilkan sebuah lukisan pada permukaan sampul duit Hari Raya / Angpau (Chinese New Year) / lukisan sampul Hari Deepavali yang menunjukkan kesan penegasan. Alhamdulillah. Semuanya memberi kerjasama dengan baik sekali walaupun mulut tu macam biasa la bising sikit. Tapi kerja tetap berjalan. Itu sudah cukup membuatkan saya tersenyum bahagia.

Tanpa diduga, masa tengah saya khusyuk memberikan arahan & penerangan, PK Petang datang buat pantauan. Budak-budak ni dah terlangut-langut tunjuk ada sesuatu dekat belakang saya. Sekali pusing. Oh mak kau! (Tapi tak melatah pun la) :) Saya rasa saya tak ada buat kesalahan apa pun. Jadi, reaksi saya tenang sahaja terima kedatangan PK tu. Kami berbual-bual sekejap. Kemudian PK tu pun berlalu pergi. Dalam hati saya tersenyum-senyum seperti bunga yang berkembang mekar. Selamat budak-budak ni berkelakuan yang sangat memberangsangkan pada waktu tu. Kalau tidak rosak juga la reputasi saya.

Apa yang saya & PK Petang tu bualkan, cukuplah saya simpan untuk diri sendiri saja. Apa yang ingin saya sampaikan disini, lakukanlah setiap amanah yang diberikan seikhlas hati. Biar manusia tak nampak keikhlasan kita, tapi cukuplah Allah Redha. Kita bekerja kerana ibadah & bukan untuk penghargaan manusia. Bila Allah yang kita dahulukan, dunia akan datang pada kita. 

Sungguh saya mula jatuh sayang dengan pelajar kelas 2A8 ni. Respon mereka yang membuatkan saya jatuh hati. Rasa ilmu yang kita nak sampaikan tu dihargai oleh pelajar. Masa tengah mengajar di kelas tadi, ada sorang pelajar Chinese dari kelas 2A8 ni datang bagi nota dia untuk saya tandakan sebagai bukti saya dah semak hasil tugas dia. Tersentuh hati. Semoga mereka menjadi manusia yang berguna satu hari nanti.

Jangan lihat melalui luaran. Tapi lihatlah dengan mata hati. Betulkah begitu? Senang cerita "Don't Judge The Books Through It's Cover".

Wassalam.






Saturday, 19 July 2014

Pogram Jaya Waris


Assalamualaikum!!!

Bismillah...

Sepanjang saya disini, setiap hari merupakan pengalaman baru kerana setiap hari saya belajar sesuatu yang baru tentang dunia pendidikan. Disini saya belajar segalanya. Pengalaman ini merupakan guru yang terbaik buat saya. Tak akan saya lupakan setiap detik hari-hari yang dilalui disini supaya menjadi bekalan di kemudian hari. 

Apa itu "Pogram Jaya Waris?". Bagi yang tertanya-tanya, eloklah saya bagi pencerahan dulu ya. Pogram Jaya Waris itu merupakan satu pogram dimana pihak sekolah menjemput waris-waris pelajar datang ke sekolah melihat prestasi akademik pelajar & prestasi bukan akademik pelajar di sekolah. Waktu inilah setiap guru tingkatan akan berjumpa dengan waris setiap pelajar kelas masing-masing untuk memaklumkan perkembangan anak-anak mereka.

Saya kira, hari ini saya sangat bertuah kerana telah diberi kepercayaan oleh pihak sekolah untuk turut serta terlibat dalam pogram ini. Walaupun saya hanya seorang guru ganti & tidak memegang mana-mana kelas kerana guru yang saya ganti itu bukanlah guru tingkatan. Segalanya bermula apabila terdapat seorang guru tingkatan sebuah kelas tingkatan 2 yang MC. Kerana ketidakhadiran beliaulah saya dapat merasai peluang ini.

Pogram Jaya Waris ini telah diadakan pada hari ini iaitu Sabtu, 19/07/2014. Memandangkan pelajar tingkatan 2 bagi sekolah ini bersekolah pada sesi petang, pogram ini pun diadakan mengikut waktu persekolahan sesi petang. Para pelajar dikehendaki datang ke sekolah seperti biasa. Manakala ibu bapa boleh hadir ke sekolah antara pukul 1 p.m - 5.00 p.m. Pelajar akan pulang mengikut waris masing-masing. Kalau waris datang awal, dapatlah pelajar pun ikut serta balik awal. Begitulah sebaliknya.

Perasaan mula-mula dapat tahu kena bertugas pada hari kejadian, sudah semestilah ada sedikit perasaan gugup. Ye la. Tiada pengalaman kan. Tapi akhirnya berjaya juga saya harunginya. Sepanjang pogram untuk hari ini, semua pelajar hadir telah memberikan kerjasama dengan baik. Setiap waris yang datang pun kesemuanya sangat membantu urusan saya sepanjang hari. Mudah saya berkomunikasi dengan mereka. Boleh dikatakan sepanjang hari ini berlangsung dengan senyuman. Tiada langsung masalah yang berlaku. Alhamdulillah.

Senyum & mesra. Bersikap sopan santun & berhemah. Itu antara tips yang telah saya aplikasikan sepanjang hari. Aura-aura positif telah meresap menjadi satu. Keyakinan diri pun mula menampakkan hasil. Macam-macam ragam pelajar & ibubapa selepas melihat keputusan akademik masing-masing yang dapat saya lihat sepanjang saya berurusan dengan mereka. Wajah-wajah gembira & kecewa sangat menyentuh hati. Teringat zaman sekolah saya dulu. Apa yang boleh saya berikan hanyalah nasihat demi nasihat untuk si anak & kata-kata semangat untuk mencapai keputusan yang lebih baik. Selebihnya atas diri pelajar sendiri yang perlu berusaha.

Hampir pukul 4.00 p.m barulah selesai tugas saya untuk hari ini. Apa yang boleh disimpulkan, walaupun tugas tersebut bukan tugas kita, bersedialah untuk berkhidmat seikhlas hati. Tak rugi pun belajar dari pengalaman. 

Pengalaman adalah guru yang terbaik. 

Wassalam.






Friday, 18 July 2014

Teknik Mengajar untuk 1st Timer


Assalamualaikum!!!

Bismillah...

Entri untuk hari ini aku terbitkan semula dari pengalaman pertama kali aku bergelar guru ganti pada 20/04/2014 - 08/05/2014. Ceritera ini adalah hasil daripada pengalaman sepanjang 3 minggu mengajar subjek sejarah tingkatan 4. Aku tulis sebab aku yang nak baca balik esok-esok ni. Kot-kot ada rezeki boleh jugak bagi cucu cicit baca. Kalau korang-korang ada yang terbaca tu terima kasih la sudi singgah sini ye. Susah-susah je korang baca kan. Ok, takpa. Silakan. Dengan rendah hatinya saya izinkan untuk kalian baca. Mungkin ada sedikit manfaat yang boleh diambil disini. Dan ingin ditegaskan bahawasanya hasil nukilan ini adalah sumber dari kisah benar yang aku alami sendiri & antara kaedah yang aku guna mengikut budi bicara sendiri. Jadi tidak 100% benar untuk digunapakai. Tapi ada juga hasil dari sumber rujukan yang telah aku praktiskan menjadi realiti.

Bila aku imbas balik memori mengajar untuk yang pertama kalinya, baru aku sedar betapa besarnya cabaran untuk mendidik anak bangsa menjadi manusia yang berguna. Sapa kata kerjaya guru itu mudah? Sapa kata mudah je masuk kelas mengajar? Kau pot pet pot pet je la kat depan kelas tu. Habis waktu, keluar. Esok masuk kelas balik sambung topik berikutnya & begitulah seterusnya. Hah! Banyaklah kau punya pot pet je. Tak semudah seperti yang disangkakan. Banyak cabarannya. Nak nak lagi untuk yang 1st timer macam aku pada waktu tu. 

Apa yang dah aku praktiskan waktu tu, perkara pertama & teknik pertama sebelum memulakan sesi P&P yang paling penting sekali adalah sesi mendisiplinkan para pelajar. Aku rasa part ni la yang paling mencabar. Mula-mula nak masuk kelas of course la tercangak-cangak. Apa yang aku buat untuk minggu pertama tu aku start dengan kenal-kenal dulu dengan kerenah-kerenah pelajar setiap kelas yang aku masuk. 


Picture credit to google.

Minggu pertama aku berlakon jadi cikgu yang garang & tegas. Padahal dalam hati jenuh aku cover supaya tak tergelak di depan para pelajar sekelian alam tu. Tidak jatuh la reputasi aku. 1st impression pelajar pada kita para 1st timer teacher ni sangat penting ya. Dari situ budak-budak ni akan menilai kredibiliti kita sebagai guru. Nak nak lagi fizikal appearance cikgu-cikgu baru biasanya muda-muda lagi walaupun aku je yang terlajak sikit. Tapi takpe budak-budak tu kata "ingatkan umur cikgu 21 tahun".hehe...senyum aku dalam hati.

Kalau 1st impression dah hancur siaplah nak kena buli dengan pelajar. Ni bagi pendapat aku la. Sebab cikgu-cikgu senior dah pesan kat aku jangan bagi muka sangat kat budak-budak tu, buat muka garang sikit. "Kalau awak bagi muka dengan depa siap la depa perleceh awak". Memang betul ya tip-tip ni. Aku tak tipu. Aku dapat rasa sendiri daripada pengalaman minggu pertama aku masuk kelas memang aku tak bagi muka langsung. Jangan harap la aku nak senyum ka buat lawak ka, memang tak la. Setiap kelas yang aku masuk, mula-mula aku berdiri je dulu depan kelas tanpa bercakap sepatah pun sampai la pelajar semua diam kat tempat duduk masing-masing & bagi salam baru aku mulakan sesi P&P.

Sampai satu tahap aku buat-buat merajuk. Ada satu kelas tu bila pelajar tak bagi perhatian & sembang-sembang je dalam kelas, aku masuk pun dorang buat tak tau je. Haa...nampak? Nampak? hoi...tercabar betul aku tau! Rasa macam nak nangis pun ada. Macam tunggul je aku berdiri kat depan tu. Salam pun tak bagi. Aku tunggu 5 - 10 minit, aku berdiri je depan kelas langsung tak cakap pape. At last tak ada respon jugak aku keluar kelas dengan muka kecewa. Aku naik bilik guru dengan panas hati & terkelip-kelip tahan airmata supaya tak keluar. Sedih hoi. T_T

Dalam bilik guru tu pulak aku duduk je diam-diam tenangkan diri. Tarik nafas hembus nafas. Istighfar banyak-banyak. Aku tunggu dalam 10 minit macam tu. Bila dah tenang balik hati aku, dengan lafas Bismillah aku turun masuk ke kelas balik. Budak-budak tu nampak je aku jalan nak masuk kelas masing-masing dah kalut duduk diam-diam kat tempat masing-masinng. Pastu bila aku masuk kelas je aku berdiri kat depan macam biasa & sambil buat muka kecewa (bajet macam pelakon handalan gitu). Kemudiaannnn " Selamat Sejahtera Cikgu". Barulah dorang kalut nak bagi salam. Lepastu apa lagi kena ceramah la.

Ni la teknik-teknik yang aku guna bila masuk kelas yang caca marba. Sungguh caca marba jugak perasaan aku bila masuk kelas macam tu. Sebab tu la kerjaya guru ni memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Bermacam-macam ragam kerenah pelajar yang tak dijangka akan menguji kesabaran, mental & emosi  para guru sekelian alam. Selalu jugak aku balik rumah tidur sampai pengsan tak sedar diri. Penat hoi...huhu.

Bila dikenangkan semula, macam tak percaya je aku berjaya juga melepasi semuanya. Kalau nak diceritakan kesemuanya, memang tak cukup 1 entri ni. Jenuh berjela-jela jadinya. Apa yang pasti, bila kita cuba buat sedikit demi sedikit hari demi hari, insha Allah apa yang kita rasa sukar tu akan menjadi mudah juga akhirnya. 

Aku mula belajar dari setiap kegagalan. Jadikan kegagalan itu pencetus semangat untuk bangkit semula.

Wassalam.







Thursday, 17 July 2014

Aktiviti Kelas Pendidikan Seni Visual Tingkatan 2 | IMBANGAN


Assalamualaikum!!!

Bismillah...


Minggu lepas punya la berkobar-kobar aku plan bagi kelas yang terlibat dengan topik imbangan, aku nak bagi pelajar buat layang-layang sebagai aktiviti untuk minggu ni. Kalau asyik melukis je mesti dorang bosan kan. Jadi aku cuba create sesuatu yang menarik sikit. Asalkan tak lari dari tajuk yang sepatutnya. Perancangan asalnya nak bawa budak-budak turun padang. Sekali kau ada mesyuarat la pulak. Burn 1 masa. Masuk-masuk je kelas budak-budak dah tanya. "Cikgu jadi tak nak buat layang-layang harini? Barang-barang dah bawa ni". Aku dengan muka rasa bersalahnya "Cancel la. Tak sempat buat harini". Adoiii...kesian tengok muka-muka budak yang dah prepare barang. 



"Kita buat minggu depan la. Harini tak sempat". Sekali ada sorang pelajar jawab "Barang dah bawa, kita buat je la. Minggu depan takmau bawa dah". Dengan nada terkilan dia jawab. "Ok la. Sapa yang dah bawa barang, teruskan je buat layang-layang ye. Tapi kita memang tak sempat turun padang tau. Cikgu ambil gambar kamu dengan hasil layang-layang kamu je". "Alaa cikgu sempat la turun padang. Jom la turun padang cikgu. Kita main layang-layang kat padang". Ah! Sudah. Minggu lepas memang la aku teruja sangat nak bawa budak-budak kelas ni turung padang. Last minit jadi macam ni pulak. Aku pun tumpang kecewa jugak sebenarnya. Tapi nak buat macam mana kan. Aku tak minta pun jadi begini. huhu. Kesian dorang. Cikgu minta maaf ye. T_T




Pakat gigih usaha nak siapkan secepat yang mungkin. Semuanya masih mengharap supaya dapat turun padang jugak. 



At last, seperti yang dijanjikan. Aku ambil juga gambar pelajar dengan layang-layang masing-masing. Ni je yang mampu dikongsi. Yang lain malu nak bergambar. Masa ni tinggal lagi 5 minit sebelum masa kelas aku tamat. 


Lepas dah siap ambik gambar, ada la 4,5 orang pelajar pakat menonong keluar kelas nak cuba terbangkan jugak layang-layang tu. Adoila...Nasib baik la sebelah kelas tu ada jugak ruang lapang sikit untuk dorang berlari-lari menaikkan layang-layang tu. Aku pun cuak jugak la takut cikgu disiplin & PK Petang round macam biasa. Aktiviti macam ni lagi sesuai buat di padang. Kalau kat sini memang nampak tak proper. Silap-silap aku dicop lepas budak sesuka hati pulak. Cikgu ganti je kot. Mana tak cuaknya. Dalam dok cuak tu tercuit jugak hati tengok muka happy masing-masing dapat jugak naikkan layang-layang tu walaupun sekejap je. 

Nasib la keadaan masih terkawal. Jenuh jugak pujuk suruh masuk kelas balik. Kejadian ni berlaku semalam. Rabu, 16/07/2014. Minggu depan last aku akan masuk kelas dorang. Harap-harap tu biarlah plan minggu depan berjalan seperti yang dirancang. 

Bahagia bila tengok pelajar pun happy dengan aktiviti yang dirancang. Wajah-wajah ini lah sumber kekuatan aku untuk meneruskan perjuangan mendidik seikhlas hati. 

Wassalam.





Tuesday, 15 July 2014

Cabaran Mengajar di Bulan Puasa


Assalamualaikum!!!

Bismillah...

Cikgu sama besar dengan anak murid.


Harini aku agak kepenatan. Walaupun 3 kelas sahaja cukup membuatkan tenagaku jatuh merudum masa waktu last kelas tu. Ya, mengajar 3 kelas sahaja untuk 1 hari dengar macam mudah bukan? Tapi setiap kelas tu 2 masa aku kena menghadap budak-budak ni ok! Mana dengan bulan puasanya ditambah pulak dengan pelajar yang super hyperactive lagi. Waktu aku nak bagi penerangan, semua pun sibuk nak berpot pet pot pet jugak. Sekali aku bertempik, sekali diam. Boleh pecah peti suara aku. huhu. 

Tapi sebenarnya budak-budak kelas aku harini baik hati sebenarnya. Setakat nakal-nakal manja gitu aku boleh terima lagi. Aku je mungkin kurang bersahur pagi tadi. Mana nak ada full of energynya kalau makan pun ciput je. Salah diri sendiri jugak. T_T Sepatutnya aku boleh bagi perfomance yang lebih baik lagi dari harini untuk depa-depa ni semua. Oh! Terkeluar sudah ayat Kedah. Kan dah kantoi.

Merujuk kepada gambar di atas, walaupun mereka ni semua dari kalangan pelajar dari kelas yang agak terkebelakang tapi aku sangat suka dengan kelas ni. Sebab budak-budak ni sangat membuatkan aku selalu tersenyum je dalam kelas. Nak marah pun tak jadi. Dorang nakal-nakal manja je. Itu yang aku suka. Bukan nakal betul-betul. Kalau nakal betul-betul mau nya pancit aku. Sebab apa? Suara dorang lagi kuat dari aku. haha. Sabar je la. Bab arahan yang aku bagi, memang dorang lulus 80%. Selalu juga mendengar kata. Alhamdulillah. Lagi 20% tu boleh dimaafkan lagi.

Harini budak-budak ni request nak buat aktiviti kat luar lagi. Bila aku bagi persetujuan, bukan main bersorak gembira. Aku pun tumpang gembira. Biasanya kalau keluar kelas, aku akan bagi aktiviti dorang buat. Macam harini aku arahkan pelajar-pelajar aku hasilkan sebuah lukisan yang menunjukkan kesan kontra. Apalagi semua pun pakat buat la. Aku terang apa yang patut & pantau setiap hasil kerja pelajar. Haa...minggu depan jangan harap cikgu nak bagi korang buat aktiviti kat luar lagi. Minggu depan kena cover balik bagi nota 2 topik yang dah aku bagi aktiviti kat luar tu. 

Minggu depan juga merupakan minggu terakhir aku mengajar disini. T_T Mudah-mudahan dapat sambung lagi. Amin. ;)

Wassalam.





Thursday, 10 July 2014

Aktiviti Kelas Pendidikan Seni Visual Tingkatan 2 | RUANG


Assalamualaikum!!!

Bismillah...

Ceritera hari ini saya coretkan untuk tatapan sendiri sebagai kenangan terindah di kemudian hari. Bukan senang nak senang. Di mana-mana pun ada cabaran yang perlu ditempuhi. Mengajar di bulan puasa, apa yang dapat saya rasakan agak perit sedikit berbanding dengan mengajar pada bulan-bulan yang tidak berpuasa. Sungguh! Baru kini kutahu. Betapa peritnya anak tekak bertempik di bulan puasa untuk memastikan para pelajar mendengar setiap arahan yang kita keluarkan & supaya keadaan kelas terkawal. Hari pertama mengajar waktu berpuasa sungguh saya jadi lembik macam nak pitam sebaik saja selesai kelas yang terakhir. Fuh! Selamat berjaya juga habiskan untuk kelas yang terakhirnya.









Walau penat sekalipun saya gagahi juga tunjukkan semangat yang berkobar-kobar untuk mendidik pelajar di bawah tanggungjawab saya. Bulan puasa pun tetap hyperactive juga budak-budak ni macam bulan tak puasa. Almaklumlah tenaga muda belia kot begitulah kan. Tapi segala penat lelah harini berbaloi rasa lepas tengok hasil kerja pelajar ni semua. Alhamdulillah. Sesi P&P ku hari ini berakhir dengan jayanya.

Aktiviti pada hari ini (Khamis, 10/7/2014) saya arahkan budak-budak ni menghasilkan sebuah arca mudah menggunakan bahan buangan yang menunjukkan prinsip ruang fizikal bersempena dengan topik ruang yang telah saya beri nota & terangkan pada minggu lepas. Hasilnya seperti gambar-gambar yang tertera di atas. 

Aktiviti ini bagi subjek Pendidikan Seni Visual tingkatan 2. Mengajar Pendidikan Seni Visual memerlukan kita kreatif untuk menghidupkan suasana kelas supaya pelajar tak bosan asyik menyalin nota sahaja. Selain membuat aktiviti di dalam kelas, saya bawa juga budak-budak ni buat aktiviti di luar kelas. Sebenarnya saya sendiri pun kadangkala bosan juga asyik je duduk mengajar di dalam kelas. Sekali-sekala nak juga menghirup udara luar. 

Ok, cukup setakat ni dulu laporan untuk hari ini. Belum sampai minggu depan lagi ilham dah datang nak buat aktiviti apa pula untuk tajuk imbangan. Tak sabar nak tengok hasil kerja aktiviti pelajar di minggu hadapan. Mudah-mudahan mereka teruja nak buat aktiviti itu.

Owh..macam mana pun mesti entri nak jadi entri penceritaan untuk korang juga kan. Ala susah-susah je korang baca. Sebenarnya aku nak tulis untuk diri sendiri. Tapi ayat nak jugak jadi formal macam entri-entri yang sebelum ni. Layankan je la.

Wassalam.






Pengalaman sebagai Guru Ganti kali kedua


Assalamualikum!!!

Bismillah...

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah...diterima lagi menjadi salah seorang warga pendidik untuk kali yang keduanya. Walaupun sebagai guru ganti sahaja, namun saya bersyukur ke hadrat ilahi kerana diberi peluang merasa nikmat menjadi seorang guru. Dimana kerjaya ini merupakan cita-cita saya semenjak dari sekolah rendah lagi & sememangnya sudah lama ditunggu-tunggu. Walau sehebat mana pun kita merancang, perancangan Allah adalah yang sebaik-baik perancangan. 

Pertama kali saya diterima sebagai guru ganti di sebuah Sekolah Menengah sekitar Negeri Kedah adalah pada 20 April 2014 - 05 Mei 2014. Waktu itu, saya telah ditugaskan untuk menggantikan guru yang bertugas di luar sekolah sebagai jurulatih sukan peringkat Negeri Kedah kalau tak silap saya. Selama 3 minggu saya telah diamanahkan untuk menggantikan tempat beliau mengajar Pendidikan Jasmani & Kesihatan tingkatan 5 dan Sejarah tingkatan 4. Waktu itu, saya telah bertugas pada sesi pagi. Perasaan pertama kali memang sangat teruja & ada jugak sedikit perasaan ragu-ragu di dalam hati memandangkan saya bukanlah dari opsyen pendidikan. Mengajar sekolah menengah pulak tu. Memang mula-mula tu perasaan kurang keyakinan diri agak menghantui jugak la. Tapi lama-kelamaan saya dapat mengatasinya sedikit demi sedikit & jadi lebih bersemangat untuk meneruskan hari-hari sebagai seorang guru. Tempoh 3 minggu rasanya tak cukup untuk saya betul-betul mendalami bidang perguruan dengan sedalamnya. 

Sungguh bila kita minta dari Allah, Allah tak pernah memandang sepi setiap doa hamba-Nya. Cuma yang membezakannya Dia akan beri cepat atau lambat sahaja. Kali kedua saya diterima sebagai guru ganti bermula pada 16 Jun 2014 - 24 Julai 2014. Alhamdulillah dapatlah merasa lama sedikit pengalaman mengajar dari yang pertama kali dulu. Kalini saya diamanahkan untuk menggantikan guru yang cuti sakit untuk tempoh tersebut. Guru tersebut mengajar subjek Pendidikan Seni tingkatan 2 & Geografi tingkatan 1. Jadi, saya haruslah bersedia dengan rancangan pengajaran untuk subjek-subjek tersebut. Kali kedua ni saya bertugas pada sesi petang. Apa yang dapat saya rasakan, perbezaan bertugas di sesi petang ni agak meletihkan sedikit kerana waktu dirasakan seperti agak panjang & bertugas di bulan puasa pulak tu memang agak mencabar fizikal & mental. 

Kalau dulu sesi pagi saya mengajar pelajar yang sudah matang. Bagi saya, agak mudah untuk berinteraksi dengan pelajar yang ada sifat kematangan dalam diri. Kalini saya mengajar pelajar yang masih bersifat kebudak-budakan. Dimana pelajar lebih banyak hendak bermain dari belajar. Oleh itu saya harus bijak mengawal keadaan. Namun begitu, pengalaman pertama banyak mengajar saya untuk memperbaiki kekurangan diri dalam proses menarik perhatian pelajar di dalam kelas. Ada pro & kontra mengajar sesi pagi & petang ni.

Minggu ni sudah masuk minggu yang ke-4 saya mengajar pada sesi petang. Makin lama saya jadi makin jatuh cinta dengan bidang perguruan. Tapi sayang sekali kerana KPLI & DPLI sudah dimansuhkan & bermakna saya sudah tidak berpeluang lagi untuk menjebakkan diri dalam bidang perguruan. Apa yang saya tahu, kemungkinan guru Mara adalah peluang terakhir untuk saya. Itu pun saya tidak pasti masih adakah lagi peluang itu untuk saya. Kita perlu belajar untuk redha dengan setiap perancangan Allah. Sesungguhnya Allah lebih tahu. 

"Boleh jadi kita membenci sesuatu, sedangkan ia baik untuk kita". 

Selagi belum bertemu dengan kerjaya tetap, mudah-mudahan saya masih diterima sebagai guru ganti untuk kali yang seterusnya. Amin. 

Wassalam.






Tuesday, 8 July 2014

Panduan Temuduga Penolong Pegawai Tadbir (Gred N27)


Assalamualaikum!!!

Bismillah...

Merujuk kepada tajuk entri, ingin dimaklumkan terlebih dahulu bahawa saya bukanlah golongan bijak pandai mengenai bab tersebut. Apa yang ingin saya kongsikan disini, hanyalah sebuah pengalaman yang dialami sendiri oleh saya semasa menghadiri sesi temuduga sebagai Penolong Pegawai Tadbir (Gred N27) untuk yang pertama kalinya. Panduan ini mungkin berguna bagi pembaca-pembaca di luar sana yang zero experience seperti saya. 

Ceritanya bermula pada hari Isnin, 30 Jun 2014 yang lepas saya telah menerima panggilan daripada pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Kedah yang menyatakan bahawa saya dipanggil untuk menghadiri sesi temuduga sebagai Penolong Pegawai Tadbir (Gred N27) di Wisma Darul Aman, Alor Setar. Memandangkan hari tersebut saya bekerja, memang tak banyak persediaan yang dapat saya buat. Semuanya last minute preparation. 

Temuduga tersebut diadakan pada 1 Julai 2014. Pukul 8.00 pagi saya wajib berada di Wisma Darul Aman di lokasi sepertimana yang telah dimaklumkan. Oleh itu, saya pastikan sebelum pukul 8.00 pagi saya sudah berada di sana. Alhamdulillah, pukul 7.30 pagi saya sudah sampai. Sementara menunggu pukul 8.00 pagi, sempatlah beramah mesra dengan calon-calon yang lain & berkongsi tips soalan yang mungkin akan ditanya oleh panel.

Tepat pukul 8.00 pagi, kami dipanggil oleh pengawas yang menguruskan pendaftaran calon-calon yang bakal ditemuduga. Perkara pertama yang diarahkan adalah menyusun sijil-sijil kelayakan original mengikut susunan seperti yang dikehendaki oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Semasa sesi pendaftaran, kami telah diberi nombor giliran masing-masing mengikut siapa yang daftar dulu & seterusnya. Kemudian kami diminta bersedia di tempat menunggu menanti nombor dipanggil.

Untuk pengetahuan anda, terdapat seramai 4 orang panel yang bergelar Datuk yang akan menjalankan sesi temuduga ke atas semua calon-calon. Temuduga berlangsung di antara 4 orang panel dengan seorang demi seorang calon. Sesi temuduga berlangsung lebih kurang 10 - 15 minit sahaja setiap seorang. Memandangkan saya di kalangan calon-calon yang terawal, saya hanya boleh kongsikan situasi mengikut pengalaman sendiri sahaja. 

Disebabkan masa semasa sesi temuduga berlangsung tidak lama, kami berpendapat bahawa, panel-panel penemuduga lebih melihat kepada aspek peribadi calon. Berdasarkan pembacaan saya, kriteria yang dilihat oleh panel penemuduga adalah seperti berikut :-

- Penampilan
- Peribadi
- Kemahiran berkomunikasi
- Tahap pengetahuan calon berkenaan dengan tugas yang dipohon

Bagi pengalaman saya sendiri, memang saya akui point-point yang diatas yang dinilai oleh panel penemuduga. Ini kerana panel penemuduga hanya bertanyakan mengenai latar belakang keluarga saya, akademik & pengalaman berkerja dulu & sekarang. Bagi soalan pengetahuan mengenai tugas yang dipohon, panel penemuduga hanya bertanyakan berapakah bilangan bidang tugas sebagai seorang Penolong Pegawai Tadbir yang saya ingat & tugas yang mana satukah yang paling saya tidak tahu.

Bagi soalan tersebut sangat memerlukan kejujuran calon. Dari situ, panel boleh menilai sama ada calon berbohong ataupun tidak. Untuk soalan tersebut, memang saya jawab dengan jujur. Untuk tugas yang paling saya tidak tahu, panel soal sampai saya tak boleh nak jawab. Sampai disitu sahaja & selesailah sesi temuduga saya. Bagi topik-topik panas yang kebiasaannya calon-calon akan prepare contohnya tentang isu semasa, nama menteri & sewaktu dengannya langsung tidak disoal oleh panel. 

Kesimpulannya, keyakinan diri semasa sesi soal jawab sangatlah penting. Untuk harini cukup setakat ni dulu saya kongsikan. Mungkin jika ada point lain yang saya tertinggal, akan saya kongsikan di lain entri. Kepada anda-anda yang bakal menghadiri sesi temuduga bagi jawatan ini, saya ucapkan "Selamat Berjaya". 

Jangan pernah berputus asa. Gagal sekali bukan bermakna gagal untuk selama-lamanya. Mungkin hari ini rezeki belum berpihak kepada kita. Apa yang penting usaha, doa & tawakal.

Cukuplah Allah kabelku.

Wassalam.






Siapa Iena Lina Rose?


Assalamualaikum!!!

Bismillah...

Salam sahur buat pembaca sekalian. Dah sahur ke belum? Ya, di saat entri ini ditulis, penulis baru saja selesai menikmati juadah sahur di pagi hari yang hening ini. Penulis lah sangat kan. Tidak mengapa, kata-kata itu kan 1 doa. Jangan takut untuk berkata-kata selagi tidak memudaratkan diri. Tak gitu? Baiklah, sementara menunggu waktu imsak selesai, apa kata saya isi masa dengan memperkenalkan diri dulu sebelum mata pena ini terus berlari dengan lebih jauh lagi. Lebih manis begitu. 

Here we go!

PROLOG

"You tengoklah dari cara you berpakaian ke or bla bla bla". Sambil memandang dari atas ke bawah. Eh, salah ke I berbaju kurung? Salah ke I pakai baju buruk-buruk? Salah ke I soft spoken? Salah ke I tak pakai make up? Salah ke I cakap bila perlu je? I bukannya artis pun! I bukan model! I bukan lawyer! I bukan kepoci! I adalah I la. You tu dah cukup sempurna ke nak menghina I? "Saya tak sempurna. Itulah saya".

BAB 1

"Be yourself, but the best of you".

Pembaca sekalian nak panggil saya apa ya? Di dunia nyata, 90% panggil saya Iena. 10% panggil saya Lina & 10% lagi panggil saya Rose. Haa...korang nak panggil apa, terpulang la ya. Itu saja klu yang dapat saya beri. Sekarang anda sudah tahu bukan, kenapa jadinya Iena Lina Rose. 3 serangkai panggilan yang digabung-gabungkan menjadi 1. Umur? Anda tekalah sendiri. Berdasarkan bait-bait tulisan yang bakal muncul nanti, berapa umur yang layak diberi untuk saya itu, hanya andalah pembaca yang bijak menilai. Tinggi saya 155cm & berat pulak selalunya tak pernah pun mencapai ideal weight sepanjang saya hidup di dunia yang fana ini. Sungguh tragis bukan?

Hobi saya yang terbaru, saya mula nak berjinak-jinak dengan dunia penulisan blog. Semoga 1 hari nanti, berjaya menjadi seorang penulis pula. Jangan takut untuk bercita-cita & berimpian ok! Jadikan cita-cita & impian itu sebagai pencetus semangat untuk maju selangkah ke hadapan. Bak kata Irfan Khairi kat bawah ni, sebentar lagi anda bacalah ya.

Saya amat meminati bidang pendidikan. Tapi rezeki belum berpihak ke arah itu. Hanya Allah yang tahu apa yang terbaik untuk saya. Saya juga suka bidang perniagaan & dunia penulisan. Kalau ada job untuk saya di bidang tersebut, kecil tapak tangan, 1 stadium bola saya sudi. Jangan segan-segan untuk tawarkan kepada saya ya. Ya, saya mahu tapi malu. Pomote diri ni. Ihiks...;D

Nah! Email la Iena Lina Rose : iena_ismail@yahoo.com.my

Saya sangat mengagumi tokoh-tokoh ini :-

Ramai antara kita kurang keyakinan diri. Cara meningkatkan keyakinan diri? Lakukan apa yang anda tidak yakin itu sedikit demi sedikit dan berulang-ulang kali. Satu ketika dulu, saya tak berkeyakinan bercakap di hadapan awam. Tetapi, keyakinan itu datang selepas melakukannya berulang-ulang kali! Practice make perfect!
- Irfan Khairy

Never Forget Where It All Started, But Never Doubt How Far We Can Go!!!
- Mark Hughes

Your life does not get better by chance, its get better by change.
- Jim Rohn

The difference between who you are and who you want to be is what you do.
- Brian Tracy

Orang yang bahagia adalah orang yang suka lihat orang lain bahagia.
- Prof. Dr. Muhaya

Saya amat sukakan motivasi. Tetapi, mampukah saya memotivasikan orang? Selalunya saya yang termotivasi dengan orang. Lagi, apa yang anda ingin tahu ya? Rasanya cukuplah setakat ini saja untuk sesi suai kenal ini. Dah macam chapter novel pulak. Selebihnya kita berkenalanlah dari semasa ke semasa ya.

SALAM UKHUWAH DARI IENA LINA ROSE.

Wassalam.





Monday, 7 July 2014

Hi! I'am a New Blogger


Assalamualaikum!!!

Bismillah...

Salam 9 Ramadhan buat semua pembaca budiman. Tanpa membuang masa, marilah kita merasmikan detik bersejarah sebuah kelahiran semula blog picisan yang tak seberapa ini. Bersempena dengan bulan yang mulia ini bersaksikan bulan & bintang, Isnin bersamaan dengan 7/72014, 8.35 pm lahirlah Iena Lina Rose di persada penulisan blog di abad ini. 

Wahai para blogger sekalian, pernah atau tidak anda merasakan bahawa kewujudan anda di arena penulisan blog ini sebagai suatu keperluan? Mengapa anda menulis? Apakah kepentingan anda di arena penulisan blog? Dan berbagai lagi persoalan yang bermain-main di minda. Ya, hanya anda sahaja yang tahu. Begitu juga dengan saya. Sebelum lahirnya blog ini, seringkali persoalan ini berlegar-legar di ruang kotak pemikiran saya. 

Dengan membawa 1 misi & visi, mata pena ini terus melangkah tanpa berpaling ke belakang lagi. Apa yang pastinya, setiap tindakan ini sudah semestinya membawa 1 matlamat. Walau apa pun niat & matlamat kita di bidang ini, biarlah segalanya untuk redha Allah. 

"Manusia akan mati. Tapi tulisan akan terus hidup. Menulis, biarlah untuk manfaat bersama di dunia & menjadi saham ke akhirat" - Iena Lina Rose

Mudah-mudahan saya istiqomah dalam menyampaikan penulisan yang bermanfaat & tidak terpesong dari tujuan asal kelahiran blog ini. Amin.

Wassalam.