Saturday 19 July 2014

Pogram Jaya Waris


Assalamualaikum!!!

Bismillah...

Sepanjang saya disini, setiap hari merupakan pengalaman baru kerana setiap hari saya belajar sesuatu yang baru tentang dunia pendidikan. Disini saya belajar segalanya. Pengalaman ini merupakan guru yang terbaik buat saya. Tak akan saya lupakan setiap detik hari-hari yang dilalui disini supaya menjadi bekalan di kemudian hari. 

Apa itu "Pogram Jaya Waris?". Bagi yang tertanya-tanya, eloklah saya bagi pencerahan dulu ya. Pogram Jaya Waris itu merupakan satu pogram dimana pihak sekolah menjemput waris-waris pelajar datang ke sekolah melihat prestasi akademik pelajar & prestasi bukan akademik pelajar di sekolah. Waktu inilah setiap guru tingkatan akan berjumpa dengan waris setiap pelajar kelas masing-masing untuk memaklumkan perkembangan anak-anak mereka.

Saya kira, hari ini saya sangat bertuah kerana telah diberi kepercayaan oleh pihak sekolah untuk turut serta terlibat dalam pogram ini. Walaupun saya hanya seorang guru ganti & tidak memegang mana-mana kelas kerana guru yang saya ganti itu bukanlah guru tingkatan. Segalanya bermula apabila terdapat seorang guru tingkatan sebuah kelas tingkatan 2 yang MC. Kerana ketidakhadiran beliaulah saya dapat merasai peluang ini.

Pogram Jaya Waris ini telah diadakan pada hari ini iaitu Sabtu, 19/07/2014. Memandangkan pelajar tingkatan 2 bagi sekolah ini bersekolah pada sesi petang, pogram ini pun diadakan mengikut waktu persekolahan sesi petang. Para pelajar dikehendaki datang ke sekolah seperti biasa. Manakala ibu bapa boleh hadir ke sekolah antara pukul 1 p.m - 5.00 p.m. Pelajar akan pulang mengikut waris masing-masing. Kalau waris datang awal, dapatlah pelajar pun ikut serta balik awal. Begitulah sebaliknya.

Perasaan mula-mula dapat tahu kena bertugas pada hari kejadian, sudah semestilah ada sedikit perasaan gugup. Ye la. Tiada pengalaman kan. Tapi akhirnya berjaya juga saya harunginya. Sepanjang pogram untuk hari ini, semua pelajar hadir telah memberikan kerjasama dengan baik. Setiap waris yang datang pun kesemuanya sangat membantu urusan saya sepanjang hari. Mudah saya berkomunikasi dengan mereka. Boleh dikatakan sepanjang hari ini berlangsung dengan senyuman. Tiada langsung masalah yang berlaku. Alhamdulillah.

Senyum & mesra. Bersikap sopan santun & berhemah. Itu antara tips yang telah saya aplikasikan sepanjang hari. Aura-aura positif telah meresap menjadi satu. Keyakinan diri pun mula menampakkan hasil. Macam-macam ragam pelajar & ibubapa selepas melihat keputusan akademik masing-masing yang dapat saya lihat sepanjang saya berurusan dengan mereka. Wajah-wajah gembira & kecewa sangat menyentuh hati. Teringat zaman sekolah saya dulu. Apa yang boleh saya berikan hanyalah nasihat demi nasihat untuk si anak & kata-kata semangat untuk mencapai keputusan yang lebih baik. Selebihnya atas diri pelajar sendiri yang perlu berusaha.

Hampir pukul 4.00 p.m barulah selesai tugas saya untuk hari ini. Apa yang boleh disimpulkan, walaupun tugas tersebut bukan tugas kita, bersedialah untuk berkhidmat seikhlas hati. Tak rugi pun belajar dari pengalaman. 

Pengalaman adalah guru yang terbaik. 

Wassalam.






No comments:

Post a Comment